Posted by : Unknown Thursday 4 July 2013

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ




Aku ingin terbang,
bersama ribuan anak merpati,
yang baru belajar, mengepak
sayap yang mudah rapuh,
dek angin yang kasar,
hujan kebasahan resah,
aku ingin kepakkan sayapku,
bersama mereka.

Aku tidak ingin ketinggalan,
menikmati nikmat terapung,
di udara cintaNya.
Ya, angin masalah ini, sering
mengubah haluannya,
sesekali, kepakku
tercedera, dan
aku tidak menangis.


Aku yakin, aku juga dapat,
terbang lagi, aku masih berpelepah
semangat yang meronta,
terbang lagi, ke udara redhaNya,
menggapai langit kecintaan,
para kaum merpati, sedang
kami dicipta, untuk terbang,
kepadaNya.

................................................................................................


Puisi ini dicipta bagi menzahirkan rasa betapa seseorang itu sangat menginginkan cinta Allah, bernaung di bawah keredhaanNya. Dia cuba menghadapi setiap dugaan yang diterima, kerana dia tahu dia mampu menanganinya, itu janji Allah pada tiap hambaNya. InsyaAllah..





Generasi kini, ramai yang mudah lupa, alpa pada tujuan hidup mereka sendiri. Benarkah? Aku sendiri kurang pasti. adakah mereka berpura-pura yang mereka tidak tahu langsung soal itu.. kelu sebentar..

Ketika aku temui para sahabat yang tsabat pada jalan Allah. Hatikku agak tersentuh. Dapatkah aku berjuang bersama-sama mereka. Atau.. setepatnya, layakkah aku?

Ah.. aku teringat pula kata-kata sahabatku.

"Ya akhi,, tahu en. Setiap dugaan mahupun cabaran yang Allah beri pada kita itu semua sentiasa di bawah kemampuan kita. Sedangkan Allah sendiri yakin bahawa kita mampu menghadapinya. Adakah kita sendiri yang tidak yakin bahawa kita mampu? "

Zapp..  Sentap rasa.

Ya, benar. Kita mampu laksanakannya. Allah yakin jua bahawa kita mampu menjadi khalifah di muka bumi ini. Tidak diserahkan pula kepada si iblis, juga malaikat. Tidak kepada si zirafah, si gunung ganang, si merpati. Heh.


"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi. Mereka berkata: Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."
(Surah Al-Baqarah: ayat 30)



Pada awalnya, kita diragui sebagai khalifah kerana kita sendiri memusnahkan, porak perandakan muka bumi ini dengan kerosakan yang hina. Kotor. Akhirnya, Allah meyakinkan para malaikat bahawa manusia mampu memikul tugas ini.

Anda mampu memikulnya? Khalifatullah... sungguh amanah cukup besar bagi mereka yang menyedari..

Sering sahaja, kita lalai dengan manisnya gula duniawi. Terperangkap dengan ilusi ciptaan si musuh Islam yang bijak memerangkap mangsanya. Umpama serigala yang gila mencari dan membaham yang kambing sesat.

Hadith sahih daripada Rasulullah SAW yang bermaksud : Sesungguhnya bahawa syaitan itu seperti serigala kepada manusia sebagaimana serigala kepada ternakan. Ia menerkam kambing yang bersendirian dan terpencil. Maka, jauhilah kamu dari berpecah belah, dan wajiblah kamu bersama-sama jamaah, orang ramai dan masjid 
(HR Imam Ahmad)

Siapa yang sesat sebenarnya di sini.?

Mereka lari dari fitrah Islam, menyeleweng benar dari jalan Allah yang lurus. Teringat surah Al-fatihah.
"Ya Allah, tetapkan hati-hati kami ini ke jalan yang lurus. Perluruskan jua segala tindakan kami ikhlas keranaMu." getus bisik doaku.

Kerana itulah. Duhai sahabat-sahabatku. Pimpinlah daku bersama meraih syurgaNya. Sama-sama terbang ke arahnya. Terbang di udara cintaNya.

para kaum merpati, sedang
kami dicipta, untuk terbang,
kepadaNya.

Kita dicipta, tidak lain, tidak bukan, hanya untuk beribadah kepadaNya.

Secebis kalimah agung menyebut :
" Wa ma khalaqtul jinna wal insa illa liya'buduun....."

= dan tidaklah aku menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah

(Surah Adz-dzariyat : Ayat 56)

Justeru itu,

Bersatulah kita dalam perihal menegakkan syiar Islam di muka bumi ini

Firman Allah ;
“ Sesungguhnya Allah menyukai hamba-hambanya yang berperang pada jalan Allah dalam barisan yang tersusun rapi (terancang dan teliti) seperti sebuah bagunan yang tersusun kukuh”
 (Surah As-Soff : ayat 4 )


Dan jangan sesekali kita berpecah belah hanya kerana akan hal yang remeh temeh. Teguhlah pada syariat Islam. 

Firman Allah yang bermaksud:
"Berpegang teguhlah kepada tali Allah, janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah kamu akan nikmat yang dikurniakan Allah kepada kamu".
(Surah Ali-Imran : ayat 103) 



 Akhir sekali, saya ingin memetik petikan doa yang begitu menyayat hati..

Nabi Muhammad SAW berdoa; "Aku taat pada perintahMu Ya Allah! Dan aku mengharapkan kesejahteraan dari Engkau, dan segala kebaikan ditanganMu dan kejahatan tidak disandarkan kepadaMu".
[Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sohihnya (771) dan Nasaai (2/130) dari hadis Ali bin Abi Talib]

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Asna Intisar - Skyblue - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -