Posted by : Unknown Tuesday 16 July 2013


“Hidup sebagai seorang mukmin sangat menakjubkan. Di setiap perincian urusan, nikmat mahupun musibah, mengalir deruan hikmah dan  deras kebaikan. Tatkala nikmat disaji lazat, bersyukur kepada Allah. Tatkala musibah menimpa berat, bersabar pula dengannya. Sungguh ajaib!”



Bersyukurlah, dan bersabarlah.

“Ya, aku harus bersabar. Dugaan ini merupakan musibah yang Allah turunkan bagi menguji hamba-hambaNya. Dan yang pasti, Allah tidak akan memberatkan hambaNya dengan beban yang tidak mampu dipikul akan hamba tersebut.” Bisik dia sendiri.

Ayah ketiduran lena. Penat. Nadiah segera mengambil selimut di kamar bilik ayahnya, masuk dan keluar semula, menyelimutkan ayahnya dengan kasih sayang. Dahi ayahnya, dikucup mesra. Bau-bau alkohol sedikit menusuk hidung. Dihiraukan sama sekali.

“Selamat malam ayah. Semoga ayah sedar akan perbuatan ayah. Semenjak ibu tiada lagi bersama kita, ayah banyak berubah. Sungguh banyak, bagai langit dan bumi. Kami, dua beradik pun tidak menyangka akan perubahan itu. Kami tahu, kehilangan ibu begitu meninggalkan kesan yang mendalam buat ayah. Tak. Bukan. Buat kita semua. Ibu sering mentarbiyah keluarga kita ke jalan yang diredhaiNya. Ayah begitu senang bersama ibu, walaupun kadangkala segan dengan ibu, kerana sedar ilmunya begitu cetek. Dan kini, ia membuatkan Kak Nad tertanya-tanya. Adakah kehidupan ayah yang dahulu itu seperti sekarang?”

Nadiah merenung tajam wajah lena ayah, seraya tersenyum.

“wajah ayah sangat hensem, patutlah ibu pun terpikat.” Nadiah menceriakan hatinya yang sedikit kecewa. Pantas dilemparkan kekecewaannya itu jauh-jauh.

Ahh. Mustahil ibu memilih ayah hanya kerana rupa.

Ibu pernah berbicara tentang ayah dalam diarinya, “dari luar tampak kasar. Tapi, sungguh, saya ingin katakan bahawa hatinya itu begitu lembut. Allah telah lembutkan hatinya, supaya menerima lunas-lunas Islam sebagai suatu pegangan dan cara hidup, meskipun sedikit menyimpang sebelum ni. Alhamdulillah. Abang kini semakin bertanggungjawab. Hari demi hari, cinta kita terus bercambah subur di taman syurga keluarga bahagia dipimpin hikmah ilmu dan rasa bertuhan.”

Nadiah tersenyum sendiri.

Eh.

Dia teringat akan Adek Jal, yang ditinggalkannya tiba-tiba tadi. Kesian Adek Jal. Cabut!

ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ  ₒ

Ramadhan hadir dengan penuh keindahan. Penuh harapan. Telah Allah limpahkan nikmat pahala kepada hambaNya, lebih melimpah ruah tidak seperti bulan lainnya. Syaitan durjana dibelenggu erat. Tak bagi lepas. Manusia bakal syahdu menyebut-nyebut namaNya, berzikir di masjid-masjid. Termasuklah, Masjid Ar-Rasyidin yang berdekatan dengan rumah Nadiah sekeluarga, tampak bakal menjadi semakin sesak dengan manusia yang ingin menunaikan solat berjemaah. Bulan Ramdhan.

“Adik oo Adik. Bangun. Dah sahur dah ni. Kak Nad dah siapkan makanan ni. Ada roti bakar je la tapi. Bangun, bangun.”

Bingkas adiknya bangun. Tanpa banyak kerenah. Pelik juga. Selalu sukar sahaja bila dikejutkan.

“Ayah, bangun.” Tubuh itu hanya mengeliat lena diulit mimpi. Bergerak sedikit ke kanan, ubah posisi badannya, bagi selesa. “Pergilah makan sana. Jangan kacau ayah.”

Bersahur.

Seusai sahur, adik bercerita sesuatu kepada Nadiah.

“Akak, malam tadi kan, Adek Jal mimpi jumpa lagi dengan ibu. Ibu pesan macam=macam. Tapi, yang paling ibu selalu ualang ialah jangan tinggal solat dan bangun qiamullail setiap hari.” Si adik kecil, Rizal, mengadu pada kakaknya.

“Akak, qiamullail tu apa kak?”

“Qiamullail tu ialah bangun malam, dik.”

“Buat apa bangun malam-malam?”

Allahu Akbar Allahu Akbar..! Azan subuh berkumandang, menggema udara pagi yang begitu dingin. mereka bersiap-siap untuk mengerjakan solat Subuh berjemaah di rumah. Kecuali, ayah.

"Adik, kita solat subuh dulu ya. Nanti lepas solat akak cerita." Nadiah tersenyum kecil pada adiknya. Senyumannya tak pernah lekang di bibirnya, terutama apabila adiknya sering bertanya soalan tentang agama. Bakal cendekiawan Islam barangkali, fikirnya. Ibnu Sina?

Nadiah tersenyum sendiri.

Solat didirikan penuh aturan dan tertib. Alhamdulillah. Adik juga dapat mengikuti sedikit sebanyak pergerakan solat. Doa dipanjatkan atas kesejahteraan mereka sekeluarga, terselamat dari azab kubur dan neraka. Amin.

“Qiamullail itu bangun malam dik. Dan ia merupakan antara sunnah junjungan Rasulullah s.a.w. yang paling digalakkan untuk dilaksanakan. Tergolong dalam sunat muakkad yang sangat dituntut.”

“Firman Allah s.w.t. dalam Surah Adz-Dzariyat: “Orang yang beribadah pada waktu malam berhak mendapat rahmat Allah, juga syurga-Nya. [1]

“Nah.. maka, qiamullail ini memang sangat bagus buat hambaNya yang berusaha menggapai syurga Allah. Terdapat juga ayat-ayat Al-Quran yang lain, yang turut merujuk tentang qiamullail seperti dalam Surah Al-Furqan, ayat 64, Surah As-Sajdah, ayat 15-17, dan Surah Az-Zumar, ayat 9. Pada waktu malam itu, para hambaNya, bangun dari tidur walaupun seketika, menunaikan ibadah seperti zikir, tahajud dan sebagainya.”

Adik mengangguk-angguk. Bersetuju. Atau mengantuk? Oh, tidak. Adik pasti sedang mengiyakan perbicaraan kakaknya ini.

“Ada hadis Rasullullah s.a.w. yang mana, Nabi Muhamad s.a.w. bersabda : “Allah SWT turun ke langit dunia pada setiap malam ketika mana berbaki sepertiga malam yang terakhir lalu berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya aku akan memakbulkan untuknya, sesiapa yang meminta kepada-Ku nescaya aku akan memberikannya dan sesiapa yang memohon taubat kepada-Ku nescaya aku akan ampunkan dosanya.”[2] “

“Menarik bukan tawaran ini?” sekali lagi, adik hanya tersengih. Senyum.

Adiknya berbicara semula. “Lagi satu. Ibu juga pesan, dalam diari ibu ada mencatatkan sejumlah hutang, yakni RM100. Ibu suruh akak pulangkan duit tu semula pada Mak Cik Zahra, jiran sebelah kita tu.”

Nadiah tersentak. “Waa.. sebegitu sekali adikku berbicara dengan ibu. Akak? Kenapa ibu tak jumpa akak? Ibu marah kat akak ke? ” Allahu Rabbi. Sedikit kesedihan menyelinap dalam relung jiwanya. Mungkin kerana dosanya di dunia, buat ibu enggan bertemu dengannya lagi, sekalipun hanya mimpi. Tidak seperti adiknya masih suci, ibarat kain putih.

“Ayah! Kak Nad nak keluar jumpa Mak Cik Zahra sebentar!” mata Nadiah merayau-rayau di segenap penjuru rumah.

“Ayah kat mana?” Mengharap ada sahutan suara ayahnya. Tetapi, tiada. ‘Sudah keluar mungkin?’

Duit poket tinggalan ibu dicapai. Dua helai wang kertas RM50 diambil, dimasukkan dalam poketnya. Terus menuju ke luar rumah. Melangkah ke rumah sebelah. Amanah ditunaikan segera. Kalau lupa? Kan susah jadinya. Dia mengajak adiknya bersama, menemaninya.

“Assalamu’alaikum.. Mak Cik Zahra. Ni, saya ada bawa RM100. Ibu saya pernah berhutang dengan mak cik dan belum dilunaskan lagi kan. Nah.” Tangan menghulur mesra, diiringi senyuman.

“Terima kasih Nadiah. Kebetulan, Mak cik sedang perlukan sedikit duit ni untuk perniagaan mak cik. Terima kasih ye nak.”

“Sama-sama.” Nadiah tersenyum simpul. Mak Cik Zahra membalas mesra, senyuman itu.

“Dah. Jom dik, balik rumah. Kami balik dulu ye mak cik.”

Wajah Mak Cik Zahra sedikit berkerut. Kehairanan.




(bersambung dalam, Diari Ramadhan Ibunda III )






[1] Surah Adz-Dzariyat, 51: ayat 17-18
[2] Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Asna Intisar - Skyblue - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -