Posted by : Unknown Wednesday 10 July 2013


“Kasih ibu tiada galang gantinya. Dibalas sepenuhnya tidaklah mampu. Hanya sekudrat ini kupunya untuk sentiasa mencintaimu kerana Allah yang satu, pencipta seluruh ibunda. Agar kita dapat bersama menempah bahagia di kamar indah syurga. Bahkan sekeluarga!”




Ceritera bermula.

“Ketenangan hati merupakan antara tanda nikmat iman kurniaan Allah. Dengan mengingatiNya, nescaya hati-hati ini menjadi tenang. Tenteram, memencar seluruh tubuh, bagai mengalir suatu tenaga asing yang membuat anggota tubuh terus teguh di hamparan sejadah. Bermunajat padaNya.”

Butir kalimah Ibunda yang dipetik daripada diari ibunya itu seringkali memunggah kekusutan mindanya, dibuangnya jauh-jauh. SubhanAllah. Sesekali Nadiah teresak-esak. Mohon maghfirahNya, keampunan buat segala dosanya yang seumpama pepasiran di pantai. Tidak terhitung sudah.

“Kak Long. Nah, di bilik ibu, ada suatu buku kecil yang tersimpan kemas di bawah katil ibu. Itu diari ibu.”

Erk, Nadiah tersentak sebentar. Kenapa dengan diari ibu tu?

“Harap Kak Long dapat warisi diari tersebut. Itu merupakan luahan rasa, doa, serta harapan ibu setelah ibu tahu ramadhan ini bakal menajdi ramadhan terakhir ibu. Allah.”

Uhuk.. Uhukk..

Ibu mendesah batuk berat. Kerongkong bagai terhimpit sempit, sakit.

Saat-saat terakhir bersama ibunya, begitu mengesankan jiwa raganya. Rasa kehilangan benar-benar membuatnya semakin matang dalam sebarang penilaian hidup, dan sedar betapa nikmat dunia ini sementara cuma. Hanya adik kandungnya yang menjadi peneman resah bicara dan gembira tawa.

Ya Allah, dikau tempatkanlah ibuku di taman orang-orang yang soleh. Berlindung di bawah lembayung rahmat Allah yang berlimpah ruah. Wahai Tuhan yang menggenggam nyawa keturunan Adam, jauhilah ibuku daripada azab kubur yang menyiksakan. Allahu Rabbi. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Nadiah menekupkan kedua tapak tangan, lembut menyapu wajahnya. Allahumma ‘Amin.

Adik Rizal merenung kehairanan di sisinya.

“Akak menangis ke?”

Kak Nadiah hanya tersenyum, merenung kembali wajah suci adiknya.

“Tak la, sayang adikku. Akak Cuma terharu dengan apa yang berlaku pada kita. Adik, rajin-rajin ya ingat pada Allah, sentiasa zikir padaNya. Allah sentiasa memerhati kita tak kira di mana kita berada. “

Ehehehe. Adiknya tersengih-sengih manja.

“Baik kak. Adek Jal akan sentiasa ingat semua pesanan akak.”

“Jom adik. Kita pulang ke rumah dik. Solat tarawih da selesai, witir pun da selesai. Nanti kita mengaji pulak kat umah.”

Ok!

Walaupun adiknya merangkak-rangkak bacaannya, Kak Nadiah tidak pernah mengeluh. Apatah lagi berputus asa. Terus mengajar ayat-ayat Allah kepadanya, memperelok bacaannya. Terngiang-ngiang di mindanya akan sebuah hadis, yang ibunya selalu pesan, masa dia belajar ilmu Al-Qur’an. Bermula dengan mengenal huruf-huruf hijaiyah, membaca iqra’ satu hingga enam, muqaddam sehinggalah mula membaca kitab suci Allah ini, Al-Qur’an Al-Karim.

Dalam kitab Shahihnya, Imam Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadits dari Hajjaj bin Minhal dari Syu’bah dari Alqamah bin Martsad dari Sa’ad bin Ubaidah dari Abu Abdirrahman As-Sulami dari Utsman bin Affan Radhiyallahu Anhu, bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Sebaik-baik kalian adalah orang yang belajar Al-Qur`an dan mengajarkannya.”[1]

“Adek Jal. Adik kena belajar Al-Quran di betul-betul tau. Barulah kita dapat baca dengan baik, lagi tartil. Cuba adik dengar pula hadis ni.”

Diriwayatkan dari Aisyah r.a. , katanya,  Rasulullah s.a.w bersabda,  

“Orang yang membaca Al-Qur’an sedangkan dia mahir melakukannya, kelak mendapat tempat di dalam Syurga bersama-sama dengan rasul-rasul yang mulia lagi baik. Sedangkan orang yang membaca Al-Qur’an, tetapi dia tidak mahir, membacanya tertegun-tegun dan nampak agak berat lidahnya (belum lancar), dia akan mendapat dua pahala.”[2]

“Haa… rugi tu, kalau adik tak pandai baca. Allah siap janjikan syurga lagi. Kan?”

Adiknya menggangguk setuju. Senyum, menampakkan putihnya gigi-gigi kecil.

“Dalam Al-Qur`an  sendiri pun disebutkan perintah Allah s.w.t untuk membaca Al-Qur`an dengan tartil,



 Yang bermaksud : Dan bacalah Al-Qur`an dengan setartil-tartilnya.” (Al-Muzzammil: 4)”

“Haa. Akak sudi ajarkan segala ilmu yang akak ada pada adik. Cuma adik kena rajin belajar lah. Boleh?”

“Boleh je. Ehehe.”

 Suasana dua beradik terus ceria, dibuai dalam kasih sayang yang mendalam. Suasana yang ceria ditambahkan lagi dengan kecomelan tingkah adiknya. Begitu menyenangkannya.

“Secomel aku mungkin? Kih, kih, kih..” Kak Nadiah berdekik tawa kecil sendiri.

Bumpp..! Prangg..!

Eh.

Pintu kayu rumah, dikuak kasar, seseorang meredah masuk ke rumah. Serentak, sebotol kaca kosong terhempas pecah di lantai. Nadiah segera keluar bilik, mengharap sangkaannya benar. Laju langkahnya, menuju pintu.

“ Ahahah! Akhirnya kau mati juga.! Ahaha..! tak sangka aku, ia bakal jadi semudah ini. Dulu, bukan main kau mengata aku. Hah! Sekarang rasakan, siapa yang lagi berkuasa, siapa pula yang lagi lemah! Baru tau langit tu tinggi ke rendah.!”

Berdekah-dekah ayahnya ketawa. Entah apa yang berlaku, tak tahu lah. Yang pasti, ayahnya tengah mabuk!

Bukk..!

Ayah menghempas longlai tubuhnya di sofa berdekatan ruang tamu. Hekkk! Sendawa besar, ayah.

Kadang-kadang, terbit juga rasa benci, menyampah pada ayah. Ergh. Ayahnya tak pernah beri didikan agama, apatah lagi nafkah. Selama ini, hanya ibu sahaja yang beri wang belanja kepada kami. Ibu baik, rajin solat, baca Al-Quran, qiamullail. Ayah? Hampeh. Rasa benci yang mendalam menyelinap dalam diri Nadiah.

“Tak bertanggungjawab langsung!” bentak kemarahan, memarak dalam jiwanya.

Syaitan?  Astaghfirullah.. Astaghfirullah. Astaghfirullah.

Dalam diari ibu, banyak sungguh bahagian yang menegaskan, “walau bagaimanapun perilaku ayahmu, jagalah dia baik-baik. Ikutilah suruhannya, selagi mana tidak melanggar syariat Islam. Usah ragu menasihatinya, andai perbuatannya jauh dari landasan hikmah, ajaran Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya, yang benar itu tetap benar, yang salah tetap salah. Bezakanlah antara yang hak dan batil sebaiknya. Semoga kalian sentiasa di kalangan hamba Allah yang bertaqwa.”

“Tapi, aku dah selalu menasihatinya. Semua itu sia-sia! Jadi, bagaimana lagi harus aku perbuat?”



(bersambung dalam, Diari Ramadhan Ibunda II )







[1] Kitab Shahih Imam Al-Bukhari.
[2] Riwayat Bukhari dan Abul Husain Muslim bin Al-Hujjaj bin Muslim Al-Qusyaiy An-Nisabury dalam dua kitab Shahih mereka.

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Asna Intisar - Skyblue - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -